Wednesday 1 July 2015

Durian ajaib = Tumbuh di pangkal pokok


MIRI: Ketika musim raja buah iaitu durian melanda di serata Borneo, satu spesies durian yang jarang ditemui dikenali sebagai durian kura-kura turut berbuah.Durian kura-kura itu hanya boleh ditemui di Kampung Selanyau, Bekenu kerana belum pernah dilaporkan terdapat di kampung-kampung lain di negeri ini.
Keunikan durian ini selain daripada saiznya yang sederhana, ia berbuah di hujung pangkal pokok.
“Durian kura-kura menjadi tarikan pelancong yang datang dari Semenanjung Malaysia dan juga seberang laut hanya untuk melihat buahnya,” kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Johnny Mungkil.
Menurutnya, spesies buah unik itu hanya didapati di kampung tersebut dan juga hanya beberapa orang penduduk kampung memilikinya.“Antara pemilik pokok durian berkenaan ialah Taib Mawang (dua pokok), Sayah Mawan (dua pokok), Aspa Yahya (dua pokok) dan Midah Japar (tiga pokok).“Ada antara pokok-pokok yang dimiliki itu berusia lebih 50 tahun,” katanya.
Menurut Johnny, pokok durian unik itu kerana berbunga dan turut berbuah di pangkal pokok.“Kulitnya berwarna kuning pucat keperang-perangan manakala isinya pula berwarna kuning,” katanya.Pada masa ini, beliau memberitahu banyak pokok-pokok muda mula ditanam kerana keunikannya dan juga untuk ditonton oleh pelancong.
Mengenai rasa durian itu, ia boleh digambarkan tidaklah semanis seperti isi durian kebiasaan dan baunya lebih kuat.